'Kami telah menentukan KEMATIAN di antara kamu dan Kami sekali-kali, tidak dapat dikalahkan...'
-Al-Waqiah 56:60
Sesungguhnya jodoh pertemuan, rezeki dan ajal terletak di tangan Allah yang Maha Besar. kita tidak tahu bagaimana kesudahan kita nanti. itulah yang terjadi buat sahabat-sahabat saya yang telah pergi dahulu menemui Ilahi. sebak dan luluh hati ini apabila mengenangkan teman-teman yang pernah bersama-sama mengharungi hidup, bergurau senda dan berkongsi suka duka pergi dijemput Yang Maha Berkuasa.
Minggu lepas, seorang lagi teman saya pulang mengadap Robnya. tidak ada kata yang terluah kecuali linangan air mata yang mengiringi perkhabaran sedih lagi mengejutkan itu. sudah lah tidak dapat bertemu buat kali terakhir, menghadiri pengebumiannya pun saya tak berkudrat kerana terlalu jauh dari sini, dan kebetulan saya baru pulang ke sini semula selepas bercuti hari raya di Kuala Lumpur bulan lepas. dinding segiempat rumah sewa ini jadi saksi tangisan sebak saya mengenangkan arwah.
Kematian teman saya kali ini heboh diperkatakan di media cetak tempatan. arwah Normaya Mokhtar meninggal dengan anaknya disisi dan hanya dijumpai pada pagi berikutnya selepas sahabatnya datang mencari. arwah kak maya disyaki meninggal kerana serangan jantung. tidak perlu saya ceritakan selanjutnya kerana berita kematian kak maya ada terselit di akhbar berita harian dan utusan.
Setangkai doa dan bacaan ayat Al-Quran sahaja yang mampu saya sedekahkan untuk arwah. semoga ia sampai padanya dan sedikit sebanyak membantu arwah tenang di alam barzakh. setiap kali mengingati arwah selepas solat, airmata saya pasti mengalir. walaupun sudah agak lama kami tidak bersama, kerana masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, namun apabila mengetahui bahawa arwah sudah tiada, perasaan sedih ini tidak dapat ditahan. arwah memang seorang kawan yang baik. kerana itu kehilangan kak maya begitu berkesan di hati saya. serentak ingatan saya kembali kepada arwah kak eni yang telah pergi mendahului saya lebih 10 tahun yang lalu.
Saya mengenali arwah kak eni kerana sejak saya ditempatkan mengajar di besut, saya berkongsi tinggal di rumah guru dengannya. perkenalan pertama kami tidaklah begitu baik kerana kak eni orangnya tidak terus mesra jika pertama kali berjumpa. ketika itu saya baru sahaja ditempatkan dan masih sangat baru dengan keadaan persekolahan. tetapi selepas agak lama tinggal bersama, dia semakin banyak bercakap dan selalu memberi nasihat kerana kami sama-sama anak dagang, jangan sampai orang tempatan benci kepada kita dengan sifat kita. arwah selalu menasihati saya kerana dia pun tahu bagaimana sukarnya berada di rantauan.
walaupun kak eni tidak mengajar di sekolah yang sama, dia sudah lama tinggal di kuarters guru sk tembila bersama seorang lagi teman kami, kak mas dan kerani sekolah kami, kak na. jadi saya adalah yang paling muda di dalam rumah itu. selalunya bila ada yang paling muda, dia pasti dimanjakan oleh yang lain. begitulah juga halnya saya semasa bersama mereka di rumah itu. walaupun masih baru, kak mas, kak na malah kak eni juga melayan saya dengan baik.
Rumah itu ada 2 unit. sebuah lagi didiami oleh cikgu lan dan kak za(kak za juga merupakan salah seorang guru sk beting lintang ketika itu). keadaan rumah kuarters itu sudah agak daif kerana ia bukanlah rumah baru seperti rumah guru yang ada sekarang. ia merupakan rumah papan bertiang rendah, punya tingkap seperti rumah lama zaman inggeris dahulu dimana daunnya panjang sehingga mencecah lantai. pintunya pula, apabila dibuka, daunnya akan menghala ke luar. kedudukan rumah itu juga tudak stabil, bahagian kirinya(jika dilihat dari depan) lebih rendah dari bahagian kanan. pun begitu, rumah itu mempunyai laman yang agak luas, tempat murid-murid datang bermain dan di sebelah kanannya, padang sk tembila yang sangat-sangat saya ingati, kerana di situlah tempat saya dan anak-anak murid saya berkejaran, menarik tali wau bulan, bergolek gelentang dan tempat kami mengulangkaji pelajaran.
Tidak ada apa yang hebat pun di ruang tamu rumah kami ketika itu, kecuali sebuah peti tv. saya masih ingat lagi tv kecil yang kak mas pinjam dari seorang guru sk beting lintang. tv itulah yang menjadi tumpuan kami berempat di sebelah malam. kami hanya punya erial biasa, yang gambarnya akan bergoyang atau hilang jika ada lori besar melintas jalan di hadapan rumah kami. jangan katakan siaran astro, untuk menonton tv1, tv2, dan tv3 pun kami terpaksa bergilir memegang wayar erial.
Sebelum saya pulang berkhidmat ke kampung saya (lebih kurang 6 tahun lepas), rumah itu telahpun dirobohkan kerana terlalu uzur, bersamanya menimbus kenangan-kenangan saya bersama kak mas, ka na dan arwah kak eni.
Semasa tinggal serumah, kak mas selalu pulang bercuti di pahang. kak na (beliau orang setiu) juga kerap pulang ke kampung. jadi hanya tinggal saya dan kak eni sahaja yang selalu ada di rumah. kepada arwahlah tempat saya mengadu kerana dia seorang pendengar yang baik dan kerana dia juga anak dagang seperti saya. arwah faham akan keadaan saya yang jauh dari keluarga. kerana itu kami jadi agak rapat. selalunya pada pagi jumaat saya selalu bersiap ke sekolah karana ada kelas tambahan. kak eni yang selalu bangun lebih awal mamasak sarapan sederhana untuk saya dan dia selalu berpesan jangan ke sekolah dengan perut kosong..."nanti kita makan budak!"katanya kepada saya. saya ketawa bila mendangar kata-kata itu keluar dari mulut arwah.
Arwah kak eni, yang juga dikenali oleh arwah kak maya meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan motor/lori semasa pulang semula ke rumah sewa kami selepas menghadiri majlis pertunangan (saya tidak ingat majlis pertunangan atau perkahwinan) kakaknya di ipoh. mulanya doktor tidak dapat melakukan apa-apa kerana peratus untuk kak eni hidup sangat tipis. kak eni terlalu parah. apabila saya tiba di hospital, doktor hanya menyuruh saya membisikkan kalimat Allah dan mengajarnya mengucap. saya biarkan dia menggenggam tangan saya kerana dari mula-mula lagi saya lihat dia terbaring, dia menggenggam kemas besi katil di sisinya. mungkin kerana menahan sakit yang amat. apabila rambutnya saya usap lembut, darah masih mengalir keluar dari hidung dan telinga arwah. semasa jururawat datang menukar kapas yang membalut keningnya, saya dapat lihat dengan jelas tulang kening kak eni kerana keningnya sudah tersiat akibat hentakkan yang teruk dengan lori. sebelah mukanya sudah membengkak. saya rapatkan bibir saya ke telinganya lalu kalimah-kalimah suci Allah saya bacakan untuknya. kapas yang baru ditukar tadi tidak dapat lagi membendung darah panas yang keluar melalui luka di kening kak eni, lalu menitik membasahi ibu jari saya.
sedihnya hati saya melihat titik-titik darah yang keluar itu, tidak dapat saya gambarkan di sini. hanya kepada mereka yang pernah mengalami pengalaman ini sahaja yang saya kira mengerti bagaimanakah perasaan saya ketika itu. tidak ada airmata saya yang jatuh di kala itu kerana rasa bimbang akan kehilangan kak eni mengatasi rasa sedih saya. saya mengelap perlahan darah yang keluar dari hidung dan telinganya sambil terus melagukan surah yassin dan beberapa ayat suci Al-Quran yang terlintas di fikiran saya ketika itu. di dalam hati, saya tak henti berdoa, agar Allah memanjangkan usia kak eni, memanjangkan usia persahabatan kami lagi.
tanpa saya duga, berlaku sesuatu perubahan pada alat yang tidak saya tahu apa namanya. kata doktor kemungkinan untuk hidup berubah 60%/40%, lalu arwah kak eni dikejarkan ke hospital USM kubang kerian untuk pembedahan. kerana waris kak eni belum sampai, maka saya menemani arwah sepanjang perjalanan. arwah tidak sedarkan diri tetapi dia menahan sakit sehingga dia berubah dari posisi berbaring ke posisi duduk. jururawat yang mengikut kami memegang kak eni supaya arwah berbaring semula dan memujuknya supaya bersabar kerana hospital sudah tidak jauh. jururawat yang baik itu terus memujuk walaupun dia tahu kak eni tidak dapat mendengarnya. saya yang berada bersama di dalam ambulans itu tergamam, hati saya direntap rasa kasihan, namun saya hanya dapat melihat tanpa kata. sakitnya hanya ditanggung oleh kak eni seorang.
arwah sedarkan diri sebelum ke bilik pembedahan, tetapi doktor tidak membenarkan saya dan kak na berjumpa kak eni. saya hanya dapat melihat dia gelisah di atas katil melalui tingkap kaca empat segi di pintu sebelum doktor menyorong katilnya masuk ke bilik pembedahan. doa terus saya panjatkan semoga pembedahan itu berjaya dan kak eni bakal sihat semula. semasa di dalam bilik pembedahan, keluarga kak eni sampai dan tugas menanti diambil alih oleh mereka. saya dan kak na pulang kerana esok sekolah akan bermula seperti biasa. selepas meninggalkan kak eni di hospital, barulah air mata saya jatuh berlinangan. patutlah malam itu saya dan kak na tak sedap hati semasa menanti kak eni dan kak mas pulang.
Arwah kak eni ada menunjukkan tanda-tanda pelik sebelum dia pulang ke ipoh tetapi saya sama sekali tidak menyangka perubahan itu sebagai tanda dia akan pergi. malam khamis itu, arwah kak eni meminta izin untuk mengusap tangan dan rambut saya dan saya biarkan. sebelum ini dia tidak pernah begitu. dia memegang lembut tangan saya dan membelai rambut saya beberapa kali. katanya alangkah baiknya kalau saya ini adik kandungnya sendiri. saya kira dia mahukan adik perempuan yang tidak jauh usianya dengan dia sendiri kerana adik dibawahnya adalah lelaki. saya senyum kerana saya sudah punya 2 kakak yang baik dan amat menyayangi saya. sememangnya saya tidak perlukan seorang lagi. tetapi kerana sayangnya saya pada kak eni, kerana hormatnya saya pada arwah, kata-kata itu tidak saya luahkan demi menjaga hatinya. saya kira itulah tanda bermulanya perubahan pada kak eni, yang saya sendiri tidak perasan. sebelum pulang ke ipoh dengan menaiki bas petang jumaat itu, arwah kak eni ada meminta saya mencarikan baju yang telah dihantar untuk dijahit di sebuah kedai yang dia sendiri terlupa di mana. saya mengangguk dan berjanji akan mencarinya. di dalam hati saya bertanya lagi, bagaimana kak eni pergi menghantar baju itu jika dia terlupa kedainya? rupanya itu juga satu lagi tanda bahawa dia akan pergi.
malam itu, kak mas akan keluar menghantar kak eni. saya pula bersiap-siap dengan kak na untuk berbuka puasa. sebaik sahaja saya mahu menyuapkan suapan pertama saya ke mulut, tiba-tiba lampu terpadam. kak eni yang sedang bersiap di dalam bilik kegelapan. serentak dia menjerit nama saya minta diberikan lampu untuk menerangi biliknya. lantas kak na memarahi arwah kerana saya baru sahaja hendak berbuka. saya letakkan semula nasi di pinggan dan bangun mencari lilin. kak na masih berleter dan menyuruh saya duduk semula menikmati makanan saya dahulu. lalu kak eni berkata, dia tahu bahawa hanya saya sahaja yang mahu membantunya kalau dia di dalam kegelapan seperti itu. sehingga sekarang, peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya.
Berita kemalangan kak eni ada dimuatkan dalam akhbar tempatan. lebih kurang seminggu kemudian arwah menghembuskan nafas terakhir dikelilingi oleh ahli keluarganya. saya dapat menatap wajah arwah selepas dijemput oleh seorang guru sk beting lintang selepas tamat waktu sekolah ke kubang kerian sebelum janazahnya di hantar pulang ke kampung. melihat jenazah beliau, lutut saya bagai tak mampu lagi berdiri. sebak menjalar segenab urat nadi. sambil surah fatihah saya sedekahkan, saya tenung lama-lama wajah arwah kak eni buat kali terakhir sebelum jenazah arwah ditutup semula. jenazah beliau dikebumikan di ipoh.
arwah Normaya Mokhtar juga mengenali kak eni walaupun tidak secara dekat kerana waktu itu kami semua bertugas di sekitar besut. selepas mengenali kak maya, dia ada juga bertanya kepada saya tentang arwah kak eni. setiap kali saya ceritakan kisah kak eni, airmata saya pasti mengalir. mengenang wajah kak eni, mengenang kenangan kami, mengenang baiknya kak eni pada saya.... dan teringat permintaannya yang tidak dapat saya tunaikan. kini, kak maya pula pergi meninggalkan saya. memang benar, tidak saya sangka kematian arwah kak maya juga menyayat hati seperti mana saya kehilangan kak eni.
Walaupun waktu bersamanya sekejap, pada usia saya yang agak muda dan jauh di perantauan, kehadiran kak eni terkesan di hati saya sampai hari ini. selepas kak eni pergi, saya berusaha mengejap beberapa kedai tempat dia selalu menghantar kain untuk dibuat baju. namun selepas lebih 10 tahun berlalu, saya masih tidak juga menemuinya. kekesalan itu sampai waktu ini masih terbuku di hati saya. mengetahui tentang kehilangan kak eni, kak maya (ketika itu arwah kak maya masih bertugas di sk gong bayor besut. seorang lagi teman baik kak maya, iaitu kak aza juga rapat dengan saya) ada meminta saya ceritakan tentang kemalangan tersebut. selepas mengetahui ceritanya, arwah kak maya ada berkata kepada saya;
"Sabarlah ja. semua yang berlaku itu adalah ketentuan. dah takdir kak eni ja meninggal begitu. kita ni, belum tahu lagi macam mana pulak."
kata-kata kak maya ini, sehingga kini masih berngiang di telinga saya. saya sedih mengenangkan pengakhiran arwah kak maya juga mengundang perasaan simpati dan kasihan. namun, saya redha, kerana Allah lebih menyayangi mereka lalu menjemput keduanya lebih awal. kisah benar pengalaman saya ini saya kongsi dengan harapan dapat menjadi iktibar kepada teman-teman di luar sana. hargailah dan sayangilah sahabat anda kerana Allah, sebelum mereka pergi tidak kembali lagi. semoga kedua-dua sahabat saya ini berada dalam golongan manusia yang diredhai Allah. dan semoga Allah mencucuri rahmat ke atas keduanya, insya-Allah. Al fatihah...
No comments:
Post a Comment